Tuesday 22 September 2015

Santai Raya Kg. Bawong

HARI PERTAMA

Program ini adalah program kedua yang diadakan oleh kelab Smart Caliphs Society. Ianya merupakan program khidmat masyarakat untuk masyarakat di perkampungan orang asli Kampung Bawong, Sungai Siput Utara, Perak. Program yang dijalankan ini merupakan dakwah santai yang mana masyarakat Orang Asli tidak akan dibebankan dengan pelbagai hukum dan syariat Islam.













Objektif utama program Silaturrahim Santai Raya ini adalah untuk menjalinkan talian persaudaraan antara peserta dan penduduk kampong Bawong. Mereka diberi pendedahan tentang asas-asas ibadah Islam, penjagaan dan pembersihan diri dan tubuh badan serta menyambut hujung Syawal bersama-sama. Program kali ini lebih memfokuskan kepada anak-anak di kampung tersebut, di mana aktiviti-aktviti adalah lebih kepada mengutamakan mereka.

Pada hari pertama, semua peserta telah berkumpul di lobi belakang KPTM pada pukul 9.00 pagi untuk bersama-sama membungkus pek bantuan keperluan asas makanan kepada penduduk Kampung Bawong, Sungai Siput Utara, Perak. Antara yang dibekalkan dalam pek tersebut adalah makanan tin, susu, tepung dan teh. Tepat pukul 11 pagi, kami bertolak dari kolej ke destinasi yang dirancang. Perjalanan kami mengambil masa selama lebih kurang 5 jam. Alhamdulillah, perjalanan kami berjalan dengan lancar tanpa sebarang aral yang melintang. Kami tiba di Masjid Kampung Bawong lebih kurang jam 3.45 petang dan setelah bersama-sama mengerjakan solat jamak di masjid tersebut, para peserta bergerak ke rumah para penduduk untuk menyampaikan pek keperluan asas dan mengajak mereka untuk ke kuliah Maghrib dan tayangan wayang pada malam itu. Kami sempat bermesra dengan penduduk kampung yang menyambut baik kedatangan kami pada hari tersebut.


Sebahagian daripada ahli jawatankuasa masakan bertungkus lumus di dapur untuk menyediakan menu makan petang iaitu cekodok dan memotong bahan-bahan yang diperlukan untuk masak malam. Setelah tugas menyampaikan pek keperluan selesai, para peserta kembali ke masjid untuk membersihkan diri dan solat maghrib dan Isyak berjemaah. Menu masakan kami pada malam itu adalah sayur tauhu dan taugeh serta ikan goreng masak kicap. Makan dalam talam mengeratkan lagi ukhwah antara kami dan disertai pula dengan sebahagian kanak-kanak yang datang awal ke masjid. Usai makan malam, kami bersama-sama para penduduk kampong yang hadir menonton wayang layar putih yang bertajuk “How To Train Your Dragon”. Sejurus wayang berakhir, kami disajikan pula dengan durian enak oleh Ustaz Bazlie, pegawai kami.


Hari pertama merupakan hari pemanasan badan buat para peserta dan tidak kurang juga kepada para penduduk Kampung Bawong untuk merapatkan silaturrahim di antara kami. Selesai sahaja sesi tayangan dan makan, post mortem dijalankan dipimpin oleh saudara Presiden Smart Caliphs Society iaitu Ahmad Fikri. Sesi perkongsian dan taaruf sesama peserta turut diadakan pada malam itu. Setelah membersihkan kawasan makan, para peserta masuk tidur.

HARI KEDUA

Kami memulakan aktiviti pada hari kedua dengan solat Subuh berjemaah pada jam 6 pagi di masjid Kampung Bawong. Pada jam 7 pagi, senaman aerobik diadakan atas tujuan pemanasan badan sebelum bergerak ke rumah penduduk Kampung Bawong. Kami dijamu dengan makan pagi iaitu mi goreng. Aktiviti pertama kami pada pagi itu tidak berjalan dengan lancar kerana hujan turun dengan lebatnya, jadi aerobik dijalankan sesama kami sahaja. Setelah itu, kami menghantar makanan pagi iaitu bihun goreng kepada setiap rumah di kampung tersebut dan mengajak mereka ke masjid.


Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang hari itu; antaranya ialah gotong royong membersihkan kubur dan mengecat rumah tok batin oleh para peserta program. Selesai solat Zohor dan makan tengahari bersama penduduk kampung, sesi penjagaan diri untuk anak-anak iaitu Teeth and Body Care diadakan; diikuti dengan Smart Solat, Perfect English dan Counting The Numbers. Setiap aktiviti mendapat sambutan yang meriah dari adik-adik ini. Mereka sangat bersemangat ketika soalan dilontarkan dan menjalankan tugasan melukis dengan baik sekali. Adik-adik yang berani menjawab soalan mendapat hadiah dan nyata mereka teruja sekali!


Usai solat Asar, program diteruskan lagi dengan aktiviti sukaneka. Adik-adik di sini ternyata begitu seronok bermain permainan yang telah disediakan oleh para pelajar KPTM ini. Antara permainan yang diadakan ialah cari gula-gula dalam tepung. Di dapur pula, para peserta yang ditugaskan untuk memasak bertungkus-lumus menyediakan makanan untuk sambutan hari raya bersama para penduduk Kampung Bawong yang diadakan pada malam itu seiring dengan Art Night. Sambutan ini bertempat di Balai Sewang, Kampung Bawong, Sungai Siput Utara, Perak. Antara menu utama yang dijamukan kepada penduduk ialah nasi, ayam kari, ayam masak kurma, rending daging dan sayur. Makanan sampingan termasuk nugget dan lemang turut disajikan.



Sambutan Hari Raya berjalan dengan baik sekali apabila semua penduduk kampung turun memeriahkan majlis. Art Night juga menyaksikan para peserta berpeluang menari sewang (tarian orang asli) di atas pentas buluh kayu itu dan mereka turut menyampaikan persembahan mereka sebagai dedikasi khas kepada penduduk kampung. Sebelum majlis berakhir, sedikit penghargaan telah disampaikan oleh pegawai kami, Ustaz Bazlie Bin Hashim kepada Tok Batin dan para VIP. Hujan nyata tidak mengganggu program kami pada malam itu. Usai sambutan tersebut, kami membersihkan kawasan balai dan pulang ke masjid. Para peserta yang tidak sempat makan di Balai Sewang dijamu dengan makanan yang sama di masjid dan diberi rehat sebelum meneruskan aktiviti pada keesokan harinya.

HARI KETIGA

Azan Subuh berkumandang di Masjid Kampung Bawong pada jam 530 pagi mengejutkan para penduduk dan peserta untuk bersama-sama mengerjakan solat fardhu dua rakaat itu secara berjemaah. Sejurus selepas selesai solat, para peserta yang bertanggungjawab di dapur terus menjalankan tugas masing-masing memasak menu pagi itu, iaitu mi goreng dan telur omelette. Setelah itu, kami bersama-sama melakukan senaman aerobik yang dsertai sebahagian dari kanak-kanak di kampung tersebut.

Dek kerana majlis Sambutan Hari Raya bersama penduduk telah diadakan pada malam hari dan berakhir hamper 11 malam, kami kembali semula ke Balai Sewang pada pagi itu untuk membersihkan sisa-sisa kotoran yang bersepah di jalan itu. Kami juga telah berjalan dari rumah ke rumah untuk mengajak penduduk kampung untuk makan tengahari bersama-sama sebelum kami berangkat pulang ke KPTM. Nasi minyak, ayam masak sambal, sayur campur goreng dan papadam menjadi menu santapan kami tengahari itu. Kami mengambil peluang itu untuk beramah mesra dengan penduduk yang terdiri dari golongan tua ke muda ketika makan bersama.


Setelah selesai makan tengahari, kami pergi dari rumah ke rumah untuk mencari anak-anak kecil untuk memberikan mereka sedikit sumbangan berupa baju kurung untuk dipakai. Setelah itu, para peserta dibawa ke air terjun untuk merasa sendiri dingin air dan kecantikan pemandangan dan suasana di kampung tersebut. Kami dibawa menaiki Hi-Lux dan dihantar bergilir-gilir ke sana. Segala aktiviti telah dijalankan dengan baik dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dari penduduk Kampug Bawong. Nyata sekali mereka sangat mengalu-alukan kehadiran para pelajar ke kampung mereka. Kami sangat berbesar hati kerana sebelum balik, kami mendapat gelang yang diperbuat daripada kayu rotan sebagai cenderamata kenang-kenangan dari salah seorang dari penduduk kampung tersebut.



Kami sangat gembira menjalinkan hubungan baik sesama penduduk walaupun bahasa dan bangsa yang berlainan. Di wajah mereka terpampang rasa gembira, dan di hati kami terselit rasa syukur kerana berbeza dengan keadaan mereka, kami nyata lebih bertuah. Kami bertolak keluar dari perkarangan Masjid Kampung Bawong tepat jam 5 petang dan selamat tiba di KPTM Kuala Lumpur pada jam 1030 malam.

Ditulis oleh:
Nur Amelia Zaidil
Setiausaha Program
BE101 Semester 3

0 comments:

Post a Comment