Monday 12 October 2015

Smart Caliphs Raikan Lebaran bersama Orang Asli

Program ini adalah program yang pertama kali diadakan oleh kelab Smart Caliph Society. Program ini juga merupakan program khidmat masyarakat untuk masyarakat di perkampungan orang asli kampong Sungai Tiang Royal Belum Perak. Program yang dijalankan ini merupakan dakwah santai yang mana masyarakat Orang Asli tidak akan dibebankan dengan pelbagai hukum dan syariat Islam. Objektif utamanya adalah memikat hati masyarakat ini kepada Islam. Program Lebaran Clothes For Orang Asli adalah bertujuan memberi semangat dan galakan kepada masyarakat Orang Asli yang telah memeluk Islam agar kekuatan hati mereka terhadap Islam terus kekal.

HARI PERTAMA: 10 JULAI 2015

Pada hari pertama, para peserta diminta untuk berkumpul di lobi belakang KPTM pada pukul 9.00 pagi. Tepat pada pukul 9.30 pagi, kami bertolak dari kolej ke Sungai Tiang Royal Belum, Perak. Perjalanan kami mengambil masa selama lebih kurang 7 jam. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan, kami tidak menghadapi sebarang kesulitan atau masalah. Pada jam 3.30 petang, kami singgah di Fresh Mart, Pekan Gerik untuk membeli keperluan makanan dan bahan masakan untuk sepanjang tempoh program. Setelah membeli semua keperluan tersebut, kami meneruskan lagi perjalanan kami ke destinasi yang seterusnya. Tepat pada jam 5.00 petang, kami tiba di Pulau Banding dan mengalihkan kesemua barang-baranng tersebut dari Pusat Perikanan Darat Banding, Tasik Temenggor, Perak ke “houseboat”.



Peserta perempuan memulakan aktiviti dengan memasak untuk juadah berbuka puasa. Memasak di atas ‘’houseboat’’ merupakan pengalaman baru buat kami semua. Manakala peserta lelaki pula ditugaskan untuk membungkus pek-pek kebahagiaan untuk diberi sumbangan kepada orang asli pada keesokan harinya. Dalam pek kebahagiaan tersebut terdapat beberapa sumbangan seperti minyak masak,gula, tepung, teh dan susu. Menu untuk berbuka puasa adalah taugeh goreng dan ayam masak merah. Yang lebih menarik, kami dihidangkan dengan makanan di dalam talam. Selepas berbuka, kami semua mendirikan solat jamak Maghrib dan Isyak secara berjemaah di atas “houseboat” yang juga merupakan tempat penginapan kami pada malam tersebut.














Setelah selesai mendirikan solat berjemaah, kami sama-sama berkumpul pada pukul 8.50 malam untuk sesi taklimat oleh pengarah program, saudara Ahmad Fikri bin Abd Kadir. Sesi taklimat tersebut adalah untuk menerangkan keseluruhan tentatif program kami selama tiga hari dua malam. Saudara Jazlie pula ditugaskan untuk memberi lebih terperinci mengenai tugas-tugas para peserta. Sesi taklimat program berakhir pada jam 12.00 tengah malam.

HARI KEDUA : 11 JULAI 2015

Pada hari kedua, aktiviti pertama kami bermula seawal jam 7.50 pagi. Kami diminta untuk berkumpul dan pek kebahagiaan diedarkan kepada setiap orang peserta untuk diedarkan kepada setiap rumah. Tepat pada jam 8.00 pagi, kami semua mula bergerak ke setiap rumah penduduk kampung dan mengagihkan pek kebahagiaan dan juga kurma. Mereka kelihatan sangat gembira apabila mendapat sumbangan tersebut dan melayan kami dengan baik sekali. Semasa mengedarkan pek kebahagiaan tersebut, kami juga telah memberitahu dan menjemput mereka untuk membawa anak-anak mereka mengikuti aktiviti yang kami adakan.














Seusai pemberian pek kebahagiaan diedarkan, aktiviti kami yang seterusnya diadakan pada pukul 9.30 pagi. Kami mengadakan aktiviti “Teeth Care” dan “Body Care”. Aktiviti ini berlangsung di Balai Sewang dan ramai kanak-kanak yang turut menyertai aktiviti tersebut. Semua kanak-kanak yang hadir diberikan satu beg yang mengandungi alat-alat untuk menjaga kebersihan diri seperti sabun,berus gigi, ubat gigi, pengetip kuku dan sebagainya. Kemudian, kami membawa mereka ke tepi tasik untuk memandikan mereka dan mengajar mereka cara-cara membersihkan gigi dan badan dengan betul.

Setelah aktiviti “Teeth Care” dan “Body Care” tamat, kami memberikan sedikit hiburan kepada kanak-kanak di sana dengan menonton skrin layar putih. Kami menayangkan kepada mereka filem Upin dan Ipin yang bertajuk“Geng”. Aktiviti seterusnya diadakan pada pukul 2.00 petang. Pada waktu tersebut berlangsung dua aktiviti secara serentak untuk ibu dan kanak-kanak. Aktiviti untuk para ibu adalah kelas memasak “cucur” dan untuk kanak-kanak adalah aktiviti pembelajaran “Counting The Numbers” dan “ Perfect English”. Pada jam 4.00 petang, para AJK masakan sama-sama bergotong-royong untuk menyediakan juadah berbuka puasa untuk 300 orang termasuk kami dan juga para penduduk kampung. Menu berbuka puasa pada hari tersebut adalah kari ayam, sayur goreng dan ikan goreng. Hampir kesemua penduduk Kg.Chiong hadir untuk berbuka puasa bersama kami.




Selepas berbuka puasa, kami semua sama-sama mendirikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah di Balai Sewang. Diikuti dengan solat sunat Terawih bersama-sama penduduk kampung. Setelah selesai menunaikan solat terawih secara berjemaah, kami meneruskan dengan aktiviti kemuncak bagi program kami. Majlis Penutup berjalan dengan  begitu lancar. VIP yang hadir pada malam tersebut adalah Tok Batin Kg.Chiong. Setelah ucapan alu-aluan oleh Ustaz Bazli bin Hashim, Tok Batin dan Datin Seri Siti Zubaidah selesai, upacara menyarungkan baju raya kepada wakil kanak-kanak lelaki dan perempuan  berlangsung. Upacara ini merupakan simbolik kepada program kami iaitu Lebaran Clothes For Orang Asli. Majlis penutup tersebut berakhir pada jam 11.30 malam.



HARI KETIGA : 12 JULAI 2015

Pada hari terakhir, sebelum berangkat pulang kami semua sekali lagi menziarahi rumah-rumah orang asli di Kg.Chiong buat kali terakhir. Kami semua berasa amat sedih untuk berangkat pulang kerana penduduk kampung tersebut melayan kami seperti anak mereka sendiri. Kami juga telah menganggap mereka sebagai keluarga angkat kami. Ada di antara mereka memberikan hadiah kenangan buat kami. Yang paling menarik, kami juga mendapat durian secara percuma. Walaupun hanya tiga biji durian yang kami dapat, kami merasakan pemberian tersebut adalah sangat bermakna.

Selepas menziarahi keluarga angkat kami buat kali terakhir, ustaz dan beberapa orang peserta lelaki memancing ikan di tasik tersebut. Hasil tangkapan mereka agak berbaloi. Pada pukul 10.30 pagi, kami bergerak pulang. Dalam perjalanan pulang ke jeti, kami diberi peluang untuk bermandi-manda di tengah-tengah tasik yang indah tersebut. Pada pukul 7.00 petang, kami singgah untuk berbuka puasa di sebuah restoran. Juadah berbuka puasa kami semua ditaja oleh Dato’Tarmizi. Sebelum berbuka, kami turut mengadakan tahlil ringkas untuk muslimin dan muslimat. Alhamdulillah, kami selamat tiba di kolej lebih kurang pada pukul 2.30 pagi. Diharapkan program ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.




Ditulis oleh:
SITI NABILAH BINTI AHMAD MUKHTAR

SETIAUSAHA

0 comments:

Post a Comment