Monday 7 September 2015

Mini Expo Raya Vaganza


Pada 4 Ogos 2015 (Selasa), pihak Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Poly-Tech MARA Kuala Lumpur telah mengadakan satu Program Mini Expo Raya Vaganza yang bertempat di perkarangan Kolej Poly-Tech MARA Kuala Lumpur. Ianya berlansung dari pukul 9 pagi hingga 4 petang dan telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof Dr Azali bin Mohamed. 


Program ini ialah gabungan tiga program kecil iaitu Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Karnival Keusahawanan dan Hari Pendaftaran Kelab. Perarakan masuk para jemputan VIP diiringi oleh barisan Askar Wataniah telah mendahului acara pada pagi itu diikuti dengan persembahan silat, flashmob raya, nyanyian dan tarian yang dipersembahkan oleh para pelajar Kolej Poly-Tech MARA Kuala Lumpur. Turut memeriahkan majlis ialah pihak para pelajar dari Kolej Poly-Tech MARA Bangi yang sama-sama membuat persembahan.






Bersempena dengan sambutan hari raya Aidilfitri ini juga, pihak KPTMKL telah berbesar hati untuk memberi sumbangan berbentuk wang tunai kepada para pelajar yang mempunyai keluarga yang berpendapatan rendah dan juga anak yatim piatu. Gimik penyerahan “mock check” kepada wakil MPP sebagai simbol penyerahan wang bantuan sempena Hari Raya Aidilfitri itu telah disempurnakan oleh YBhg. Prof Dr Azali bin Mohamed.

Penyerahan cek sumbangan Hari Raya kepada wakil pelajar, saudara Muhammad Faez Ezuwan selaku Exco Kebajikan oleh Naib Canselor dan pihak pengurusan tertinggi KPTM.
 
Antara makanan-makanan yang disediakan untuk para tetamu yang hadir pada majlis tersebut ialah ayam golek, sate, nasi impit,  kuah kacang, lemang, rendang, bihun sup, cendol, aiskrim dan air anggur



Selain itu, pihak kami juga ada menjemput beberapa pihak untuk mengadakan pameran pada hari tersebut. Antara badan-badan yang mengambil bahagian ialah PDRM, KPDNKK, IM4U dan AVON. Terdapat pelbagai input yang baru dan menarik dapat ditimba oleh para pelajar melalui pameran yang telah disediakan.






Hari pendaftaran kelab juga mendapat sambutan yang menggalakkan dari para pelajar. Lebih kurang 30 kelab yang mengambil bahagian untuk mempromosikan kelab masing-masing pada hari tersebut. Mereka menghias booth mereka dengan pelbagai jenis hiasan yang menarik dan menyediakan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan untuk para pengunjung yang hadir ke booth mereka.




Expo Keusahawanan juga menarik minat para pelajar dan kakitangan KPTMKL yang hadir pada hari tersebut. Antara peniaga-peniaga yang menyertai Expo tersebut ialah mereka yang menjual burger, kek, spaghetti, jagung, air minuman, gelang, buku dan beg



Akhir sekali, acara yang mendapat sambutan hebat ialah “ pertandingan catwalk raya diva-diva meletop” yang dikelolakan oleh Saudari Siti Hawa Baharudin dan Saudara Muhammad Faez Ezuwan bin Munajat. Para peserta yang mengambil bahagian adalah terdiri daripada wakil-wakil daripada setiap program. Para peserta menunjukkan bakat masing-masing memperagakan pakaian mereka dengan pelbagai gaya yang menarik untuk menarik minat para pengadil pertandingan. Keputusan akhir pertandingan berpihak kepada pelajar daripada program Diploma Komunikasi Korperat semester 4.





Kesimpulannya, rata-rata pengunjung yang hadir ke program Mini Expo Raya Vaganza berpuas hati dengan acara-acara yang diadakan dan mereka berharap agar program seumpama ini diadakan lagi di masa hadapan.

0 comments:

Post a Comment