Sunday 6 September 2015

Infosys Foundation 4.0 - Batch 13/2015

Ditulis oleh: Taufik

Program Infosys Foundation merupakan satu usahasama yang diadakan antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Multimedia Development Corporation (MDeC) dan Infosys Limited bagi meningkatkan kebolehpasaran dan pengetahuan pelajar dalam bidang sains komputer dan teknologi maklumat. Ia telah bermula pada tahun 2007 di India dan sehingga tahun ini, sebanyak 13 kumpulan pelajar telah mengikuti program ini.

Saya bersama pelajar-pelajar "havoc" dari UiTM Jasin. Di sebelah kanan saya ialah Syafiq, rakan sebilik.

Program Infosys Foundation 13 kali ini telah diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan seramai 93 orang peserta dari 18 institusi pengajian telah terpilih mengikuti program ini. Antara IPT yang terlibat ialah UiTM Jasin, UPSI, UIA, UUM, UMP, UiTM Kedah, USIM, UMS, UniMAS, dan UPM. Pelajar yang terpilih rata-ratanya adalah pelajar tahun akhir yang bakal menjalani latihan industri ataupun yang telah tamat belajar. Mereka dikehendaki menduduki ujian bertulis dan sesi temuduga terlebih dahulu, kemudian saringan dilakukan di oleh pihak MDeC untuk memilih 100 orang pelajar terbaik seluruh Malaysia.

Saya bersama dengan ahli kumpulan 24. Dari kiri ialah Wei Yang (UTeM), Syuhadah (UiTM Kedah) dan Adiebah (USIM)

Alhamdulillah, saya telah terpilih untuk mewakili Kolej Poly-Tech MARA Kuala Lumpur untuk mengikuti program tersebut. Selama 25 hari berkampung di sana, banyak ilmu telah ditimba melalui empat subjek yang diajar – Object Oriented Programming with Java, Relational Database Management System, Introduction to User Interface Concepts and Web Technology, dan Software Engineering. Walaupun subjek-subjek ini diajar juga di kolej, namun pendekatan yang dibawa adalah lebih menjurus kepada aplikasi di dalam industri.

Suasana ketika di dalam makmal komputer.
Setiap hari, peserta dikehendaki hadir ke makmal komputer dan tepat pada jam 8.30 pagi dan kehadiran peserta akan direkodkan secara elektronik dan sehingga jam 5.00 petang (paling awal), pelajar akan menghabiskan masa di makmal dan mendengar kuliah yang disampaikan oleh para pensyarah yang telah dilantik untuk mengajar mengikut bidang masing-masing. Kemudian, pelajar dikehendaki menyiapkan tugasan harian yang diberikan dan perlu dimuatnaik secara online untuk dinilai sebelum tamat tempoh masa yang ditetapkan.
Penilaian terhadap pencapaian dalam kursus ini adalah melalui tugasan harian, ujian topikal, dan projek berkumpulan. Setiap kali sesuatu subjek itu selesai, pelajar dikehendak menduduki ujian bagi menilai prestasi peserta. Peserta juga diberikan tugasan dalam bentuk projek berkumpulan yang perlu disiapkan dalam tempoh kurang seminggu dan dibentangkan kepada penilai pada hari terakhir sesi pembelajaran.

Pada hari Sabtu dan Ahad minggu pertama, beberapa syarikat telah sudi hadir untuk menemuduga pelajar-pelajar yang berminat untuk bekerja dengan syarikat mereka seperti TechnoDex dan Virtusa manakala pada Sabtu berikutnya, diadakan pertandingan bowling antara kumpulan. Saya amat bernasib baik kerana pasukan saya telah menjuarai pertandingan tersebut dengan purata 200 jatuhan pin seorang untuk 2 set permainan.

Pasukan kami menjuarai pertandingan bowling. Saya diapit oleh Munirah (kiri) dan Najwa serta Texan (kanan).
Banyak pengalaman menarik yang dapat ditimba sepanjang program ini terutamanya pemahaman yang lebih mendalam terhadap apa yang dipelajari di kolej dan pendedahan kepada situasi sebenar apabila bekerja kelak. Saya amat berpuas hati dengan program ini walaupun sedikit terkilan kerana terpaksa meninggalkan tanggungjawab sebagai MPP selama berada di sana. Saya benar-benar berharap agar lebih ramai pelajar yang akan menyertai program ini pada masa akan datang.

Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Cik Shuhadah binti Othman, pensyarah Jabatan Sains Komputer kerana telah mengendalikan proses pemilihan, mengurus dan memantau keadaan saya sepanjang kursus ini dan para pensyarah yang memberi tunjuk ajar dan semangat kepada saya. Juga kepada rakan-rakan Infosys yang memberikan tunjuk ajar dan pengalaman manis sepanjang berada di UTeM.

Penulis merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Coventry University dan Presiden MPP KPTM Kuala Lumpur sesi 2015/2016.

0 comments:

Post a Comment