HARI PERTAMA
Objektif utama program Silaturrahim Santai Raya ini adalah untuk menjalinkan talian persaudaraan antara peserta dan penduduk kampong Bawong. Mereka diberi pendedahan tentang asas-asas ibadah Islam, penjagaan dan pembersihan diri dan tubuh badan serta menyambut hujung Syawal bersama-sama. Program kali ini lebih memfokuskan kepada anak-anak di kampung tersebut, di mana aktiviti-aktviti adalah lebih kepada mengutamakan mereka.
HARI KEDUA
Kami memulakan aktiviti pada hari kedua dengan solat Subuh berjemaah pada jam 6 pagi di masjid Kampung Bawong. Pada jam 7 pagi, senaman aerobik diadakan atas tujuan pemanasan badan sebelum bergerak ke rumah penduduk Kampung Bawong. Kami dijamu dengan makan pagi iaitu mi goreng. Aktiviti pertama kami pada pagi itu tidak berjalan dengan lancar kerana hujan turun dengan lebatnya, jadi aerobik dijalankan sesama kami sahaja. Setelah itu, kami menghantar makanan pagi iaitu bihun goreng kepada setiap rumah di kampung tersebut dan mengajak mereka ke masjid.HARI KETIGA
Dek kerana majlis Sambutan Hari Raya bersama penduduk telah diadakan pada malam hari dan berakhir hamper 11 malam, kami kembali semula ke Balai Sewang pada pagi itu untuk membersihkan sisa-sisa kotoran yang bersepah di jalan itu. Kami juga telah berjalan dari rumah ke rumah untuk mengajak penduduk kampung untuk makan tengahari bersama-sama sebelum kami berangkat pulang ke KPTM. Nasi minyak, ayam masak sambal, sayur campur goreng dan papadam menjadi menu santapan kami tengahari itu. Kami mengambil peluang itu untuk beramah mesra dengan penduduk yang terdiri dari golongan tua ke muda ketika makan bersama.
Setelah selesai makan tengahari, kami pergi dari rumah ke rumah untuk mencari anak-anak kecil untuk memberikan mereka sedikit sumbangan berupa baju kurung untuk dipakai. Setelah itu, para peserta dibawa ke air terjun untuk merasa sendiri dingin air dan kecantikan pemandangan dan suasana di kampung tersebut. Kami dibawa menaiki Hi-Lux dan dihantar bergilir-gilir ke sana. Segala aktiviti telah dijalankan dengan baik dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dari penduduk Kampug Bawong. Nyata sekali mereka sangat mengalu-alukan kehadiran para pelajar ke kampung mereka. Kami sangat berbesar hati kerana sebelum balik, kami mendapat gelang yang diperbuat daripada kayu rotan sebagai cenderamata kenang-kenangan dari salah seorang dari penduduk kampung tersebut.
Ditulis oleh:
Nur Amelia Zaidil
Setiausaha Program
BE101 Semester 3